SERAMAI 29 individu terbabit perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di sekitar Dataran Merdeka semalam telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk melengkapkan kertas siasatan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta perhimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan Akta-akta lain yang relevan.
Katanya, polis juga sedang mengenal pasti beberapa individu lain menerusi rakaman video dan gambar membabitkan himpunan terbabit.
“Kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan polis telah menerima lebih daripada 20 laporan di seluruh negara daripada orang ramai bagi membantah penganjuran perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, polis sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, peringatan itu demi menjamin keselamatan orang ramai, selain menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP.
“Sikap degil penganjur dan peserta mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan adalah tidak bertanggungjawab.
“Lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak Covid-19 yang memerlukan kerjasama semua untuk dibendung,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemantauan mendapati penganjur dan peserta perhimpunan secara jelas telah melanggar syarat-syarat SOP PPN serta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa.
Semalam, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.
Kumpulan individu berkenaan yang memakai baju hitam, antara lain dilihat membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah. – Malaysiapost

