Penduduk berang lelaki tembak mati kera

0
3

Nurul Huda Abhar

KEJAM! Itu cukup menggambarkan tindakan seorang individu menembak seekor kera menggunakan senapang berhampiran Hutan Simpan di Raub Pahang.

Kera tersebut ditembak berdekatan dengan habitatnya di Hutan Simpan di Taman Rotan Tunggal, sekali gus menimbulkan kemarahan dan bantahan penduduk.

Menurut penduduk, lelaki warga emas itu bertindak demikian kerana mengganggap haiwan tersebut mengganggu kawasan perumahan yang terletak bersebelahan hutan simpan kekal.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Raub bagi menyiasat tindakan warga emas itu yang dikatakan pernah menembak kera sebelum ini.

Persatuan Haiwan Malaysia, dalam kenyataan di Facebook berkata, kera termasuk dalam senarai haiwan terlindung oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Pembunuhan haiwan liar seperti kera ini perlu dilaporkan kepada Perhilitan untuk menjustifikasi keperluan dan sebab membunuh serta senjata yang diguna pakai oleh pembunuh.

“Bangkai haiwan liar yang dibunuh juga perlu diserahkan kepada Perhilitan negeri. Kegagalan melaporkan pembunuhan kepada Perhilitan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya. – Malaysiapost