‘Surat Istana’ bocor: Pemuda PAS akan buat laporan polis

0
3
kredit: harakah daily

DEWAN Pemuda PAS akan membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dilakukan untuk mengenal pasti punca kebocoran surat yang didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri berkaitan isu kekeliruan pembatalan Ordinan Darurat.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari, berkata penyebaran surat yang bertarikh 29 Julai lalu itu adalah suatu perkara yang amat serius dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

Katanya, jika benar surat tersebut wujud, ia tentunya merupakan surat rahsia dan terhad dan sepatutnya hanya untuk dibaca oleh penerimanya sahaja iaitu Perdana Menteri.

“Tindakan menyebarkan surat tersebut kepada umum, yang dimuat naik oleh sebahagian pimpinan Pembangkang adalah suatu perkara yang bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi.

“Sedangkan Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media umum yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi Istana Negara untuk bacaan awam. Oleh itu, penyebarannya adalah suatu tindakan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga telah menimbulkan polemik dan kekecohan di kalangan masyarakat, serta menampakkan seolah berlakunya krisis di antara Istana dan Eksekutif.

“Sepatutnya ruang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan isu ini berlandaskan undang-undang dan kerangka Perlembagaan Persekutuan, bukan dimarakkan lagi pertembungan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS memandang serius perkara ini dan menggesa siasatan polis dibuat bagi mengenalpasti punca kebocoran surat ini.

“Satu laporan polis akan dibuat bagi menggesa siasatan dibuat, untuk melihat samada wujudnya unsur khianat dan sabotaj dari penyebaran surat tersebut.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia turut mengarahkan semua Dewan Pemuda PAS Negeri dan Kawasan untuk membuat laporan polis tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam tempoh pandemik, seharusnya semua pihak bersatu dan bersama menggembleng tenaga dalam memastikan penularan wabak dapat dikekang, bukan memarakkan api perpecahan dan pertelingkahan.

“Justeru, Pemuda PAS mengecam sebarang usaha dan cubaan mewujudkan kekecohan dan ketidakstabilan politik dalam tempoh ini, semata demi memuaskan nafsu serakah politik dan mengajak agar semua rakyat bersatu dan fokus kepada menyelesaikan isu permasalahan rakyat dalam tempoh ini,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong dipercayai mengutuskan warkah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.

Menerusi warkah bertarikh 29 Julai 2021 yang tular di media sosial itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai memaklumkan kronologi berhubung pembatalan semua ordinan-ordinan berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan sehingga kini tiada maklumat atau pengesahan daripada Istana Negara berhubung surat yang tular berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Harakah Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here