KETUA Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin yang dilaporkan agak kritikal akibat positif Covid-19 sebelum ini dilaporkan telah ditidurkan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menerusi Twitternya yang turut memberitahu Shazni Munir mengalami jangkitan Covid-19 tahap lima.
Akmal Nasrullah dalam masa sama turut mendoakan Shazni Munir dan berharap semua orang ramai turut sama-sama memohon kesembuhan beliau.
“Ya Allah, Kau lindungilah beliau, berikan kesembuhan kepada beliau, berikan kekuatan kepada beliau. Mohon sama-sama doakan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, kedaaan Shazni Munir agak kritikal dan lemah akibat positif Covid-19.
Pada 24 Julai lalu, Setiausaha Pemuda Amanah, Asim Abdullah Ainullotfi memaklumkan, status Shazni Munir kini dalam tahap empat.
“Kami juga dimaklumkan isteri dan anak-anak beliau disahkan positif Covid-19.
“Buat masa ini, mereka sedang menjalani kuarantin wajib di rumah sementara menunggu arahan seterusnya daripada pihak kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

