Majlis keraian, sambutan Aidiladha punca kes Covid-19 Terengganu naik – MB

0
3
Kredit: Harakah Daily

PENINGKATAN mendadak kes positif Covid-19 di Terengganu antaranya dikenalpasti berpunca daripada majlis keraian yang dijalankan secara sembunyi oleh masyarakat di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.

Ahmad Samsuri berkata, peningkatan kes turut disumbangkan oleh aktiviti penduduk yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

“Termasuklah aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya.

Semalam, Terengganu merekodkan peningkatan mendadak kes harian baharu positif Covid-19 iaitu sebanyak 883 kes membabitkan 860 kes penularan tempatan, sekali gus mencatatkan angka tertinggi yang direkodkan sejak pandemik itu melanda.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkat, peningkatan kes turut disebabkan saringan kontak rapat dan saringan bersasar yang dijalankan di beberapa lokaliti di seluruh negeri ini, serta kewujudan kes-kes bergejala berpunca daripada penularan yang pantas dalam komuniti.

“Terdapat juga kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak penguat kuasa pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, akan memperhebatkan aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

“Susulan daripada aktiviti pengesanan ini kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan berusaha memohon penambahan vaksin supaya proses vaksinasi di kawasan kritikal yang mencatatkan bilangan kes yang tinggi, terutama di Kemaman dan Dungun, dapat dipertingkat dengan kadar segera.

“Semua diminta terus mematuhi SOP bagi mencegah penularan Covid-19 walaupun negeri ini telah berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Harakah Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here