‘Betulkah Covid-19 di Parlimen amat bahaya?’ – soal Najib

0
3

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui agak sukar untuk mempercayai bahawa penangguhan hari akhir Sidang Khas Dewan Rakyat esok adalah disebabkan penularan jangkitan Covid-19.

Najib mempersoalkan perkara itu dengan memberi contoh adakah Parlimen begitu ‘bahaya’ berbanding dengan kes 204 petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre, Shah Alam yang dijangkiti Covid-19, bulan lalu.

“Agak susah bagi sesiapa yang waras untuk percaya bahawa sidang Parlimen esok perlu ditangguh ke satu tarikh yang belum diumum sebab Covid.

“Saya bagi contoh. Pada 12 Julai, 204 petugas di sahkan positif Covid di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam. PPV ditutup sehari dan dibuka semula pada 14 Julai.

“Manakala 11 individu dikesan positif daripada 1,183 saringan di Parlimen pada hari Khamis,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, amat sukar bagi sesiapa untuk percaya bahawa PPV yang melibatkan puluhan ribu orang awam dibenarkan beroperasi semula hanya dua hari selepas 204 petugas dikesan positif.

“Mengikut contoh PPV Shah Alam, Parlimen sepatutnya sudah selamat dibuka bermula Sabtu. Jadi, kenapa sesi pada hari Isnin dibatalkan juga?

“Adakah kerajaan percaya bahawa nyawa 220 Ahli Parlimen lebih mahal berbanding ribuan orang awam yang lawat ke PPV Shah Alam tiap-tiap hari?,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya situasi di Parlimen amat bahaya mengapa ramai Menteri dan Ahli Parlimen dibenarkan meninggalkan Dewan Rakyat tanpa disaring pada tengah hari Khamis lalu untuk ke rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Andainya benar bahawa PM8 ada sokongan “cukup dan jitu” 110 ataupun 115 ahli parlimen maka kerajaan PN sepatutnya membenarkan Ordinan-ordinan Darurat dibahas dan diundi dalam Dewan.

“Bukan tiba-tiba menipu dalam dewan bahawa ianya sudah back-date batal yang akhirnya membawa kepad kemurkaan YDP Agong.

“Dan sekiranya benar bahawa PM8 ada sokongan cukup dan jitu, PM8 tak akan hilang diri sejak memberi sesi penerangannya pada hari Isnin,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut mempersoalkan ‘kehilangan’ Muhyiddin di Dewan Rakyat selepas hanya muncul untuk memberi penjelasan pada hari pertama mesyuarat Isnin lalu.

“Dia datang pada pagi Isnin untuk beri penjelasan tapi apabila tiba masa untuk dia disoal, dia sudah lari diri. Tak pernah muncul kembali di Parlimen sejak itu,” katanya.

Semalam, media melaporkan, hari terakhir Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi surat bertarikh 31 Julai yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.

Menerusi surat tersebut, dinyatakan penangguhan tersebut selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here