Peserta Himpunan Baju Hitam akan dikompaun – Polis

0
2
Sebahagian peserta berarak di Jalan Masjid Jamek ketika menyertai perhimpunan Keluar dan Lawan di Kuala Lumpur.

PESERTA yang menyertai perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di sekitar Dataran Merdeka, semalam akan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata kesemua individu yang sudah dikenal pasti menyertai perhimpunan itu akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dalam masa terdekat.

Katanya, sekiranya cukup keterangan, mereka akan dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan mengikut Seksyen 21A Akta 342.

“Tindakan juga dikenakan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dianggarkan 450 individu dikesan berkumpul di dataran Masjid Jamek, kira-kira jam 10.30 pagi semalam, sebelum sejam kemudian berarak melalui Jalan Tun Perak ke Jalan Raja.

“Kumpulan itu turut membawa kain-kain rentang dan perhimpunan berlangsung kira-kira dua jam.

“Kita turut menerima menerima satu laporan polis berkaitan perhimpunan itu pada jam 3.04 petang tadi dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya mengesan satu video tular menunjukkan perarakan beramai-ramai di sebatang jalan yang dikatakan berlaku di ibu negara.

“Semakan polis mendapati kejadian itu bukan berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mematuhi SOP PPN dan tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan memandangkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih melanda negara kita,” katanya.

Semalam, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.

Kumpulan individu berkenaan yang memakai baju hitam, antara lain dilihat membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here