Sidang Khas Dewan Rakyat Isnin ini ditangguh

0
2
Parlimen Malaysia

SIDANG Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung Isnin ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi surat bertarikh 31 Julai yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.

Menerusi surat tersebut, dinyatakan penangguhan tersebut selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pejabat Yang di-Pertua Dean Rakyat telah dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sidang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguh ke suatu tarikh yang ditetapkan kelak.

“Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlaku penularan jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, saya telah diarahkan oleh Yang Berhormat Datuk Mohd Rashid Hasnon (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat) untuk mengemukakan pemberitahuan ini kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin, 2 Ogos 2021,” katanya dalam surat tersebut.

Terdahulu, sidang Parlimen yang tergendala pada Khamis lalu tidak dapat diteruskan kerana ancaman Covid-19.

Menurut Mohd Rashid yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga 10 pagi 2 Ogos ini.

Ia susulan kenyataan Pengarah Kesihatan bahawa terdapat empat kes positif dikesan di Bangunan Parlimen pada hari tersebut.

Hari ini, negara sekali lagi melakar sejarah hitam apabila hari ini mencatatkan 17,786 kes harian Covid-19 paling tinggi sejak virus berkenaan melanda negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here