JAS Selangor pulangkan 90 kontena e-waste ke negara asal

0
2

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor mengarahkan pemulangan semula 90 kontena yang mengandungi sisa buangan terjadual (e-waste) ke negara asal sejak Januari lalu.

JAS dalam kenyataan memaklumkan, anggaran berat keseluruhan buangan terjadual di dalam 90 kontena tersebut adalah 1750 metrik tan dengan nilai anggaran harga RM6.31 juta.

“Dari Januari hingga Julai 2021, Notis arahan telah dikeluarkan oleh JAS Selangor bagi mengarahkan pemulangan 90 kontena yang mengandungi sisa buangan terjadual ke negara asal.

“JAS Selangor terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri Selangor dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, JAS menahan dua kontena mengandungi bahan buangan terjadual e-waste yang dipercayai diimport dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Pelabuhan Barat, Klang, hari ini.

JAS berkata, pengimport didapati tidak mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk mengimport buangan tersebut.

Menurut kenyataan itu, penahanan berkenaan dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap tiga kontena selepas mendapat maklumat awam.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 3 kontena mendapati 2 buah kotena mengandungi buangan terjadual e-waste (SW 110) dan barangan tersebut diimport dari UAE.

“Pengimport didapati tidak mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk mengimport buangan tersebut.

“Manakala pemeriksaan ke atas sebuah lagi kontena mendapati barang dagangan yang diimport tidak tertakluk sebagai buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sehubungan itu, JAS berkata, satu Notis Arahan pemulangan akan dikeluarkan kepada pegimport untuk memulangkan dua kontena yang berisi ewaste (SW110) tersebut ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here