MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan notis kebankrapan terhadap Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali, Nur Sajat selepas usahawan itu gagal membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas stokis utamanya, OWA Resources.
Peguam, Nurul Hafidzah Hassan berkata usahawan terbabit gagal membayar ganti rugi itu yang jumlahnya diputuskan Mahkamah Rayuan pada April lalu.
Menurutnya anak guamnya selaku plaintif, Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, dibenarkan menampal notis itu di rumah defendan (Muhammad Sajjad) yang lokasinya tidak diketahui sehingga kini.
Jelasnya sebelum ini pihaknya cuba menyerahkan notis berkenaan sebanyak tiga kali termasuk surat janji temu namun gagal sebelum memfailkannya melalui notis iklan di akhbar, mahkamah dan rumah defendan.
“Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hafidzah turut menjelaskan anak guamnya pada tahun lalu berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini dari akaun terbabit.
“Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan-defendan.
“Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan melainkan membankrapkan defendan,” katanya.
Nurul Hafidzah berkata sebelum ini pihak Muhammad Sajjad bercadang membayar ganti rugi itu secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan namun tidak dipersetujui anak guamnya.-Malaysiapost

