AHLI Parlimen Gua Musang menyifatkan tindakan kerajaan mengumumkan penarikan semula pelaksanaan Ordinan Darurat sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sebagai kurang cerdik.
Sehubungan itu, tokoh Umno dikenali Ku Li itu berpendapat seluruh jemaah menteri termasuk dari Umno bertanggungjawab bukan hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhydiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Malah saya rasa perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan boleh barangkali diadukan kepada Jawatankuasa Keistimewaan Parlimen kerana melanggar keistimewaan-keistimewaan ahli-ahli.
“Perkara itu sepatutnya dilaporkan dan dikemukakan kepada kita untuk sama-sama menimbangkannya,” katanya dalam rakaman video di Facebooknya malam ini.
Veteran Umno itu turut menggesa sidang khas Dewan Rakyat dilanjutkan bagi membolehkan semua ahli parlimen membincangkan isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumum kerajaan, 26 Julai lalu.
Katanya, langkah itu juga dapat membetulkan semula keadaan susulan krisis berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita.
“Walaupun Agong beri pandangan kita bincang hal ini sebaik mungkin dan menentu sama ada boleh dilulus atau tidak pembatalannya (Ordinan Darurat), saya rasa elok perkara ini dilakukan semula.
“Elok sidang Parlimen ini dilanjutkan dan beri peluang Ahli Parlimen suarakan pendapat rakyat, baik buruk ordinan yang dipakai sekarang,” katanya.
Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita terhadap tindakan pemansuhan proklamasi darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenannya.
Terdahulu, dalam sidang Khas Parlimen Isnin lalu, Takiyuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 21 Julai lalu dan tidak perlu lagi untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen.- Malaysiapost

