Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan Ahli Parlimen pembangkang cuba mengambil kesempatan daripada keadaan kekalutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan dan keuntungan politik sendiri.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, tindakan mereka itu dilihat umpama menangguk di air keruh.
“Secara jujurnya, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 4 hari tidak menampakkan kesungguhan dan keikhlasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat, terutama blok pembangkang yang mahu membincangkan isu rakyat dan penyelesaian Covid-19.
“Selama 4 hari berlangsung, Dewan Rakyat menjadi medan kata-kata kesat, jeritan bak hilang akal dan tiada adab sebilangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat pembangkang. Desakan mahu bicarakan keluh kesah rakyat hanyalah retorik politik murahan, sebelum Parlimen bersidang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan perasaan dukacita berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.
“Oleh yang demikian, diharapkan Kerajaan Perikatan Nasional mengambil tanggungjawab di atas kekhilafan yang berlaku dan menjunjung titah Yang di Pertuan Agong demi kesejahteraan negara kita,” katanya.
Dalam pada itu, DPIM turut berharap teguran daripada Yang di-Pertuan Agong diambil dengan hati yang terbuka demi kestabilan politik negara.
“Seharusnya semua pihak bersatu hati bersama Kerajaan Perikatan Nasional untuk membawa negara kita keluar daripada pandemik Covid-19.
“Jadi, pertukaran kerajaan atau penubuhan kerajaan sementara tidak akan membantu rakyat di bawah, kerana ahli-ahli politik akan sibuk mencatur kepentingan politik mereka dengan “bos” baru mereka. Itulah realiti politiking di negara kita. Akhirnya, rakyat masih terabai,” katanya. – Malaysiapost

