KERAJAAN melancarkan aplikasi keselamatan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Chatbot, hari ini dalam usaha meningkatkan bantuan dan sokongan terhadap mangsa pemerdagangan orang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sistem berkenaan yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melalui Projek Liber8, bertindak sebagai media interaksi antara mangsa dan MAPO.
Beliau berkata, MAPO Catbot adalah sistem yang mudah diakses, mesra pengguna, praktikal dan boleh dihubungi setiap masa bagi memberikan respon yang pantas kepada pengguna.
“Sistem ini bersifat interaktif dengan pelbagai bahasa di mana pengguna boleh memilih bahasa yang dikehendaki.
“Terdapat enam bahasa yang berbeza iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia, Burma, Nepal dan Bengali,” katanya dalam ucapan Sambutan Hari Anti Pemerdagangan Orang Sedunia 2021, secara maya hari ini.
Hamzah berharap, dengan pelancaran sistem berkenaan, lebih banyak mangsa akan tampil ke hadapan dan Kementeriannya akan memastikan mereka semua bukan sahaja diselamatkan tetapi juga akan dilindungi.
Beliau berkata, bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam membanteras kegiatan pemerdagangan orang, Kementerian Dalam Negeri sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan hukuman bagi jenayah terbabit termasuk cadangan hukuman pemenjaraan seumur hidup.
“Kerajaan juga akan terus menjayakan Pelan Tindakan Anti Pemerdagangan orang 2021 – 2025 (NAPTIP 3.0) yang telah dilancarkan pada Mac lalu.
“Dengan ini saya ingin menyeru supaya pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), CSO untuk terus bersatu dalam memberikan sokongan, perlindungan dan keadilan kepada mangsa pemerdagangan orang.
“Dengan kerjasama dan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak Kementerian percaya kegiatan pemerdagangan orang dapat dibanteras dan keadilan dapat diberikan kepada semua tanpa mengira latar agama, bangsa dan negara,” katanya.
Menurutnya, kegiatan pemerdagangan orang ini adalah sama seperti amalan perhambaan moden yang menafikan kebebasan, maruah serta hak asasi jutaan orang mangsa di seluruh dunia
“Berdasarkan statistik sejak 2015 sebanyak 1,854 kes yang melibatkan 10,463 mangsa telah direkodkan dalam negara dan 70 peratus daripada mangsa adalah terdiri dari kalangan wanita dan kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

