Perintah isytihar kawasan berjangkit tidak sama dengan Proklamasi Darurat – KKM

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan di bawah akta 342 tidak sama dengan pewartaan Proklamasi Darurat.

KKM dalam satu kenyataan berkata, terdapat kekeliruan antara Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021 [P.U. (A) 313/2021], yang dikenali sebagai “Perintah” manakala Proklamasi Darurat [P.U. (A) 7/2021] pula dikenali sebagai “Proklamasi”.

Jelasnya, Perintah ini dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Perintah ini bertujuan untuk melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, dan telah dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos sehingga ke 31 Disember 2021,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021.

“Perintah tersebut telah menetapkan bahawa semua Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Dengan berkuat kuasanya Perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

“Selain itu, Perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan Kerajaan menguatkuasakan antaranya, arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Menurut KKM, Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

“Sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit,” katanya.

Jelas KKM lagi, Perintah mahupun Proklamasi Darurat telah diwartakan dan telah menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Oleh itu, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran yang tersendiri dan tidak tepat mengenai Perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here