Olimpik Tokyo: Kejayaan Zii Jia bukan hilang, tapi ditangguhkan – Chong Wei

0
4

LEGENDA badminton negara yang juga Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei, menasihatkan perseorangan lelaki badminton negara Lee Zii Jia supaya tidak terlalu kecewa susulan tewas kepada pemain China, Chen Long, malam tadi.

Beliau berkata, satu Malaysia tahu Zii Jia telah cuba sedaya upaya dan pemain muda itu mempunyai banyak peluang lagi di masa hadapan.

Menurutnya, dari segi perlawanan malam tadi, beliau merasakan kekuatan, kepantasan dan teknik memang memihak kepada Zii Jia, namun pemain berkenaan kelihatan cemas pada saat-saat penting.

“Olimpik pertama kot, siapalah tak cemas? Game Chong Wei pertama kali Olimpik pun tak kemas.

“Yang penting, donggakkan dagu teruskan usaha. Next Olympic 3 tahun saja. Kejayaan anda bukanlah hilang, tetapi hanya ditangguhkan. Saya bangga dengan anda..Rakyat Malaysia bangga dengan anda,” katanya.

Chong Wei sempat bergurau dengan mencadangkan pemain berkenaan berlatih di Melaka selepas ini susulan atlet pertama merangkul pingat emas bagi Filipina berlatih di negeri berkenaan.

Dalam perlawanan di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo malam tadi, Zii Jia tumpas kepada Chen Long 21-8, 19-21, 5-21 dalam tempoh 70 minit.

Sementara itu, Zii Jia bertekad untuk bangkit semula dan berjanji memenangi emas pada temasya akan datang bagi membolehkan Lagu Negaraku bergema di Sukan Olimpik.

“Wahai Olimpik yang pertama, saya terpaksa akur setakat ini saja. Sedih, sayu, kecewa, hampa..seribu perasaan yang tidak terkata.

“Walaupun saya berazam ingin mempamerkan satu aksi yang boleh memberi sedikit harapan kepada seluruh Malaysia yang sedang bertungkus lumus mengharungi pandemik Covid-19 tetapi masih tidak kesampaian niat saya,” luahnya di Facebook hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi semangat dan sokongan kepadanya serta kepada pihak penganjur Tokyo Olimpik 2020 yang berjaya melangsungkannya.

“Saya benar benar dapat merasakan makna sebenar sebagai seorang atlet yang dapat menjejak langkah ke kejohanan ini amatlah tak ternilai.

“Saya tahu sebagai seorang atlet, saya harus belajar melalui kegagalan dan berusaha menghadapi cabaran dan dugaan yang ditempuhi.

“Kekalahan menunjukkan saya belum cukup kuat dan mantap lagi. Ayuh! Saya harus bangkit semula, rajin, cekal dan tabah berlatih untuk meneruskan perjuangan saya agar dapat membawa Lagu Negaraku bergema di podium satu hari nanti,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here