‘Dewan Rakyat perlu tentukan nasib PM Isnin depan’ – Kit Siang

0
2

VETERAN DAP Lim Kit Siang, berkata penentuan sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen perlu menjadi perkara pertama dalam aturan mesyuarat sidang khas Parlimen, Isnin ini.

Kit Siang berkata, sebelum ini beliau sudah mengeluarkan kenyataan bahawa hari pertama Sidang Khas Parlimen selama lima hari, akan bermula dengan bencana dan berakhir dengan malapetaka.

“Namun, pada hari keempat, situasi di Parlimen berubah dan diselubungi sandiwara dengan menyaksikan Parlimen ditutup sementara dan sidang Parlimen ditangguhkan untuk beberapa kali.

“Kenyataan Menteri yang disampaikan Perdana Menteri, (Tan Sri)Muhyiddin Yassin berhubung Pelan Pemulihan Negara boleh disifatkan sebagai suatu bencana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang empat hari pertama Sidang Khas Parlimen, negara berdepan dengan masalah berganda, krisis perlembagaan terbesar selain situasi penularan Covid-19 yang semakin memburuk.

“Pun begitu, bencana maha dahsyat sebenarnya adalah berkenaan rahsia besar yang disimpan kerajaan daripada pengetahuan pelbagai pihak — selama lima hari, Kabinet mendakwa mereka membatalkan enam Ordinan Darurat, sekali gus menjadikan Malaysia salah satu negara yang mungkin mempunyai Proklamasi Darurat tanpa sebarang Ordinan Darurat.

“Namun, tiada siapa yang mengetahui sama ada enam Ordinan Darurat tersebut telah dibatalkan menerusi proses yang sah pada 21 Julai 2021 — suatu persoalan perundangan yang sepatutnya menjadi tugas Peguam Negara, (Tan Sri) Idris Harun untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Kabinet dan rakyat Malaysia,” katanya.

Kit Siang berkata, isu berkenaan sekali gus mengalihkan perhatian Parlimen daripada krisis Covid-19 yang membelenggu negara ketika ini.

“Empat hari sidang khas Parlimen dibazirkan begitu sahaja untuk membincangkan isu Ordinan Darurat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Parlimen.

Selain itu, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun juga harus meletakkan jawatan sebagai Speaker kerana jelas beliau tidak layak untuk menjadi Ketua Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.

“Takiyuddin dan Muhyiddin harus meletakkan jawatan secara terhormat.

“Sekiranya Perdana Menteri tidak bersedia untuk mengundurkan diri, maka penentuan sama ada Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen harus menjadi aturan mesyuarat pertama dalam sidang khas Parlimen pada Isnin hadapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here