EXCO Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid menegaskan ketika ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ingin mengheret negara ke kancah krisis perlembagaan.
Menurutnya, ini kerana kenyataan balas Muhyiddin yang dikeluarkan lewat petang semalam menimbulkan 1001 persoalan yang hanya menjurus ke arah untuk membuktikan dirinya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan pihak lain adalah salah.
Katanya, dalam kenyataan itu Muhyiddin telah menyatakan bahawa pada 22 Julai beliau menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 untuk dimasyurkan oleh Seri Paduka Baginda pada 21 Julai 2021.
“Kemudian, hanya pada 23 Julai, Mahiaddin (Muhyiddin) mengutuskan warkah tanpa menghadap Seri Paduka Baginda supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan.
“Susulan daripada itu, pada 24 Julai barulah Takiyuddin dan Peguam Negara menghadap untuk memberi penjelasan tersebut.
“Namun, pada 26 Julai 2021 yang lepas Takiyuddin telah mengumumkan bahawa ordinan tersebut telah dibatalkan hanya setelah didesak oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dan seterusnya menimbulkan kekecohan di dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustafa Shah berkata, pada 27 Julai Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menjelaskan kedudukan tersebut namun semalam, baginda tetap mengeluarkan kenyataan menzahirkan rasa amat berdukacita terhadap kerajaan PN yang gagal menurut titah Baginda supaya ordinan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Beliau juga mempersoalkan mengapa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah walaupun telah perkenan menerima penjelasan sebanyak dua kali tetap menzahirkan rasa amat dukacita terhadap apa yang telah berlaku.
“Apa yang dilakukan oleh Muhyiddin melalui kenyataan media tersebut adalah seperti mahu mengugut dan mengingatkan Seri Paduka Baginda mengenai kewajipan Baginda untuk patuh kepada apa sahaja nasihat Kerajaan dengan berselindung dengan Perkara 40 (1) dan Perkara 40 (1A),” ujarnya.
Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar menekankan ketika ini negara sudah pun menghadapi tri-krisis iaitu krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik yang mana semuanya akibat kelemahan kerajaan PN menguruskan dengan baik.
Jelasnya, akibat daripada ‘kedegilan’ Muhyiddin untuk membentangkan Ordinan Darurat di Parlimen untuk diungkaikan melalui perbahasan, negara berdepan dengan satu lagi kemungkinan krisis.
“Saya mendesak agar Muhyiddin memikirkan mengenai hal ehwal negara serta memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat seperti mana yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda melalui kenyataan yang sama.
“Tidak ada jalan keluar yang lain melainkan mengambil tanggung jawab penuh ke atas perkara ini dan janganlah ‘bertikam lidah’ dengan Seri Paduka Baginda mengenai hal yang mudah untuk diselesaikan di kala negara menghadapi krisis.
“Sekiranya Muhyiddin benar-benar menjunjung titah dan menghormati institusi raja maka beliau dan Takiyuddin sewajarnya melepaskan jawatan,” katanya. – Malaysiapost

