Umno perlu usaha tubuhkan Kerajaan Interim

0
2

UMNO perlu mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim bagi menyelamatkan Malaysia yang kini berada dalam krisis Perlembagaan, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, penubuhan Kerajaan Interim perlu diusahakan hanya dengan tiga mandat sahaja iaitu menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakan ia untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Kerajaan Interim itu akan terhenti apabila PRU15 diadakan dan Parlimen mesti harus terus bersidang, kebebasan media dan media sosial dijamin.

Katanya, selain itu setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mesti dibentangkan di Parlimen demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya.

“Malaysia sedang berada dalam suatu krisis perlembagaan. Kenyataan Perdana Menteri semalam tidak menjernihkan keadaan malah akan menjadikan ia semakin meruncing.

“Wakil rakyat Umno hanya mempunyai satu pilihan. Iaitu mendukung titah Yang di-Pertuan Agong dengan sepenuh jiwa dan raga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Umno tidak akan dan tidak wajar terheret dalam konflik yang sedang berlaku ketika ini dan iltizam Umno sejak awal penubuhannya, adalah antara lain mempertahankan Institusi Raja.

“Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut adalah bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan Umno.

“Jalan keluar dari semua ini ialah untuk Umno mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim,” katanya.

Beliau berkata, meninggalkan Perikatan Nasional (PN) adalah lebih baik dan strategik dari membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini.

“Umno tidak boleh abaikan negara kerana PN. Apa lagi bila wibawa kerajaan telah punah sepunah-punahnya.

“Umno mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan demi sebuah negara yang sangat memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, saat Umno terbelenggu dengan nafsu demi kuasa dan kedudukan dalam Kerajaan PN telah berakhir dan wakil rakyat Umno mesti memilih, bersama Raja dan rakyat atau bersama dengan Perdana Menteri dan PN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here