Ahli Parlimen Umno sokong PM umpama derhaka kepada Agong – Puad Zakarshi

0
2

AHLI-Ahli Parlimen Umno disaran supaya menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berpendapat tindakan itu perlu susulan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengemukakan usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, semalam.

Menurutnya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, juga sudah mengarahkan Ahli Parlimen Umno menzahirkan pendirian dan menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Adakah usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dilakukan Anwar Ibrahim di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1)(h), 26 (1)(d), dan Peraturan Mesyuarat 36 (12) akan dibenarkan isnin depan?

“Maka disarankan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat. Nyatakan pendirian, mereka tidak menyokong Perdana Menteri.

“Gagal berbuat demikian, Ahli Parlimen Umno akan dicop umpama menderhaka Agong. Ini menjejaskan imej Umno sebagai parti yang mempertahankan Institusi Raja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berpendapat tiada sebab Ahli Parlimen Umno ingkar keputusan parti yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai lalu.

“Kenyataan media dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri petang semalam adalah bukti Perdana Menteri degil dan mahu menegakkan benang basah.

“Sepatutnya Perdana Menteri memohon maaf kepada Agong seperti yang disarankan oleh Menteri Besar Pahang dan Perak,” katanya.

Puad bagaimanapun mempersoalkan sama ada terdapat Ahli Parlimen Umno yang bersekongkol dengan tindak tanduk Perdana Menteri yang bangkitkan kemurkaan Agong.

“Surat kepada Speaker akan mengabsahkan sama ada Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti melebihi 110 undi.

“Kecuali sidang Parlimen pada hari Isnin ini dibatalkan sebagai jalan selamat untuk Perdana Menteri?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here