9 lagi dikesan positif Covid-19 di Parlimen – Dr Noor Hisham

0
2
Bangunan Parlimen Malaysia

SERAMAI sembilan individu lagi yang menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dikesan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga jam 8 malam tadi, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva.

Menurutnya, daripada jumlah yang disaring, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif Covid-19 menjadikan keseluruhan 11 kes dikesan sejak mesyuarat berkenaan bermula 26 Julai lalu.

“Pada 29 Julai jam 12.30 tengah hari, KKM telah dimaklumkan mengenai dua kes positif Covid-19 telah hadir ke Parlimen.

“Kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai (Isnin) sehingga 28 Julai (Rabu) dan dilaporkan positif semalam melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan.

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua kes tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Menurutnya, kedua-dua kes itu juga negatif apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

“Sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit ( satu kes tengah hari, sembilan kes petang semalam).

“Dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala. Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan Covid-19 tersebut,” katanya.

Menurutnya, berikutan pengesanan kes-kes positif berkenaan pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here