Arab Saudi hantar 3 pesawat penuh bantuan perubatan ke Malaysia

0
2

TIGA pesawat penuh dengan bantuan peralatan perubatan dihantar oleh Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia bagi membantu usaha menangani wabak Covid-19.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua pesawat membawa bekalan bantuan itu sudah tiba di tanah air semalam, manakala satu lagi dijangka tiba hari ini.

“Baru lima hari lepas Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud menitahkan supaya bantuan Covid-19 dihantar ke Malaysia, semalam ia telah tiba di tanah air menerusi dua pesawat, sebuah lagi akan tiba hari ini.

“Tiga pesawat Saudia Airlines dihantar Kerajaan Arab Saudi untuk sampaikan sumbangan ini, Alhamdulillah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat penerimaan bantuan berkenaan secara rasmi daripada Duta Arab Saudi ke Malaysia, hari ini.

“Insya-Allah, tengah hari nanti saya akan secara simbolik menerima sumbangan ini dan perincian jumlahnya daripada Duta Arab Saudi. Nanti saya kongsi kepada semua,” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Hishammuddin memaklumkan Malaysia bakal menerima sumbangan bantuan daripada kerajaan Arab Saudi dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Menurutnya, Raja Salman menitahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan kepada Malaysia.

Beliau berkata, ia adalah satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here