Agong boleh pecat PM yang tidak ada majoriti – Aziz Bari

0
2
aziz bari

Najamuddin Mohd Nor

HANYA sebuah kerajaan yang sah yakni majoritinya jelas boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, kata Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari. 

Menurutnya, sebuah kerajaan yang majoritinya diragui atau sudah hilang majoriti tidak berhak untuk menasihati Seri Paduka Baginda. 

Sebaliknya, Dr Abdul Aziz berkata, Perdana Menteri sebuah kerajaan yang tiada majoriti atau hilang majoriti, namun enggan letak jawatan boleh dipecat. 

“Agong berhak bahkan bertanggungjawab untuk berbuat demikian. Majoriti perlu sentiasa dibuktikan,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Dr Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi menegaskan, kerajaan yang rapuh perlu untuk sentiasa menunjukkan majoriti dimilikinya.

Katanya, majoriti sesebuah kerajaan yang rapuh tidak boleh dibuktikan di atas kertas.

“Majoriti tidak boleh diandaikan atau hanya didakwa seperti kononnya kerajaan masih ada 110 Ahli Parlimen yang menyokongnya. Ia kena dibuktikan di Dewan Rakyat melalui sebarang undi usul,” katanya.

Semalam, Yang di Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita terhadap tindakan pemansuhan proklamasi darurat dan pembatalan enam Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenannya. 

Terdahulu, dalam sidang Khas Parlimen Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 21 Julai lalu dan tidak perlu lagi untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen. 

Sementara itu Dr Abdul Aziz menyifatkan krisis Perlembagaan yang melanda negara telah memasuki fasa kritikal. 

“Krisis perlembagaan ini sudah masuk ke tahap dua atau tiga. Krisis ini bermula apabila Agong dan Raja-Raja menyeru supaya Parlimen bersidang.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dari segi prinsip darurat tidak menggantung Parlimen, yakni parlimen masih tetap berfungsi meskipun dalam keadaan darurat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here