Pemandu SUV rempuh Myvi positif dadah

0
3

PEMANDU kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo yang memandu lawan arus di Jalan Klang Lama, di ibu kota Kuala Lumpur semalam, didapati positif dadah.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

Beliau berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan selepas hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar, hari ini.

“Polis menerima maklumat mengenai video kemalangan yang tular di media sosial pada jam 8.32 pagi tadi.

“Polis menjalankan siasatan dan menghubungi kedua-dua pemandu kenderaan itu supaya tampil memberi keterangan. Mereka pada jam 11.30 pagi dan jam 12 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, ujian saringan air kencing ke atas pemandu Volvo mendapati lelaki itu positif dadah.

Berikutan itu, katanya, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu video tular seorang wanita berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya dirempuh sebuah SUV dipercayai dipandu pemandu mabuk.

Video berdurasi satu minit itu memaparkan kereta jenis perodua Myvi dirempuh SUV jenis Volvo dari arah depan dan berada dalam keadaan melintang arus. – Malaysiapost