Warga emas Pulau Pinang boleh ‘walk-in’ suntikan vaksin mulai 2 Ogos

0
2
Orang ramai duduk menunggu giliran untuk mengambil vaksin AstraZaneca di PWTC.

WARGA emas di Pulau Pinang yang belum menerima sebarang temu janji suntikan vaksin Covid-19 boleh hadir secara ‘walk in’ atau berjumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada 2 Ogos ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang diadakan semalam.

“Golongan warga emas sama ada yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau sebaliknya dan belum memperoleh sebarang janji temu boleh hadir secara ‘walk-in’.

“Bagi mereka yang menetap di daerah Seberang Perai Utara boleh hadir ke PPV Dewan Millenium, manakala bagi daerah Seberang Perai Tengah (PPV SP Arena) dan Seberang Perai Selatan (PPV Dewan Serbaguna Jawi).

“Untuk mereka yang menetap dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya pula boleh mengunjungi PPV di SPICE Convention Centre (SPICE CC) pada 3 Ogos selepas PPV itu memulakan operasi Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta individu-individu terbabit untuk membawa dokumen diri khususnya kad pengenalan bagi proses pendaftaran serta imunisasi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, sehingga kini Pulau Pinang sudah mencapai 51.1 peratus kadar suntikan dos vaksin pertama.

“Kerajaan negeri berjanji akan melipatgandakan lagi usaha ini bagi memastikan kita mencapai sasaran populasi dewasa negeri ini memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin lebih awal daripada sasaran iaitu pada awal September ini,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan terus mengambil pendekatan 3T iaitu saringan, pengesanan kontak dan rawatan sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Apa yang kita lihat kini termasuk rekod catatan kes tertinggi semalam merupakan hasil saringan massa yang dilaksanakan bukan hanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), malah juga daripada Program Penang Saring Covid Percuma dan inisiatif sendiri pihak industri khususnya.

“Sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 51 kluster aktif dilaporkan iaitu 40 daripada sektor perkilangan, tempat kerja (tujuh) dan masing-masing dua di institusi pendidikan serta tapak bina,” katanya.

Tambah beliau, berlandaskan laporan daripada JKNPP, sebanyak 155 kilang telah diarah tutup bagi tempoh Januari hingga 26 Julai tahun ini, berbanding 17 kilang tahun lepas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here