SEORANG tenaga pengajar pusat pengajian agama mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu dalam urusan rasmi membabitkan pusat pengajian itu pada 2015.
Mohd Idrus Ahmad@Ab Kadir, 46, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang menggunakan dokumen iaitu ‘Cabutan Minit Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Intan Sungai Petani Kali Ke-8’ yang palsu dalam urusan rasmi.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Peguam Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co pada 15 September 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Saiful Izham Ramli.
Saiful dalam rayuannya memohon jaminan lebih ringan dikenakan kerana anak guamnya hadir sendiri ke mahkamah selain dia menetap di negeri itu.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Ogos depan.
Tertuduh kemudian membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin. – Malaysiapost

