TINDAKAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ingin mengelak daripada membahaskan mengenai Ordinan Darurat dilihat seperti terdapat sesuatu yang cuba cuba diselindungi.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata tindakan itu turut menyebabkan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan terdapat elemen ‘seperti kaduk naik junjung’ oleh mereka yang sedang menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan ketika ini.
Beliau berkata, kesimpulannya kerajaan PN dilihat telah melakukan penderhakaan yang cukup besar ke atas rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Diraja.
“Kita tidak pasti mengapa kerajaan PN sanggup melanggar keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang ke tahap itu.
“Namun timbul desas desus kerajaan PN mahu mengelak Ordinan Darurat daripada dirungkaikan di Dewan Rakyat. Seolah-olah ada sesuatu cuba diselindungi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, keadaan ketika ini adalah antara sebab Umno mengatakan kerajaan PN gagal iaitu gagal menjaga rakyat dan negara daripada kesan buruk pandemik serta gagal menjunjung kedaulatan undang-undang dan Institusi Raja-Raja.
“Sebab itu Umno sebelum ini memutuskan menarik balik sokongan kepada ketua kerajaan PN dan menuntut Perdana Menteri digantikan oleh individu lain yang lebih berkemampuan,” tegasnya. – Malaysiapost

