DATUK Seri Najib Razak menegaskan kenyataan media Istana Negara berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat, adalah bukti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan tepat menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Keputusan MKT Umno untuk tarik sokongan terhadap Perdana Menteri terbukti tepat,” kata bekas Perdana Menteri itu ringkas menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan Umno mengambil keputusan menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri pada 8 Julai lalu, berkata antara lain kerana kerajaan gagal memenuhi aspirasi rakyat dalam beberapa perkara utama.
Ia termasuk kegagalan kerajaan yang memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.
Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
Ia bukan saja gagal menghormati pnnsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. = Malaysiapost

