INFLUENCER media sosial, Carl Samsudin yang didakwa menjatuhkan air muka warga emas lelaki di sebuah pusat transit gelandangan di Kuala Lumpur Selasa lalu, membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.
Pengasas butik Bella Ammara menerusi laman Instagram memberitahu tidak berniat untuk menghina sesiapa dan hanya mahu memberi motivasi kepada golongan itu untuk mengubah kehidupan.
“Jika ketika petikan video itu dirakam kelihatan seperti saya tidak beradab dengan pak cik tersebut saya betul-betul mohon maaf.
“Sejujurnya sebelum, semasa dan selesai bercakap saya menyantuni pak cik berkenaan serta semua gelandangan dengan baik dan mereka semua gembira pada hari tersebut,” tulisnya dalam hantaran itu.
Menurut Carl, bagi sesiapa yang pernah menghadiri sesi motivasi dikendalikannya pasti akan tahu cara penyampaiannya memang bersemangat.
“Siapa Yang pernah hadiri motivational talk saya akan faham macam mana semangatnya saya bercakap dengan cara saya sendiri bagi mereka yang datang kepada saya untuk dibantu bangkit dan ubah hidup,” ujarnya lagi.
Jelasnya, dia berhasrat bertemu warga emas itu sekali lagi dalam masa terdekat untuk meminta maaf sekali gus memperbetulkan kesilapan dirinya.
Carl turut memohon maaf kerana tidak memakai pelitup muka ketika bercakap pada hari kejadian dan mengakui dia sudah dipanggil pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan dikenakan kompaun.
Tampil menceritakan apa yang berlaku, dia memberitahu pada hari kejadian dia dijemput pihak pengurusan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Yayasan Kebajikan Negara untuk membantu sekelompok gelandangan yang berada dalam fasa bangkit untuk memulakan perniagaan.
“Saya mohon maaf tidak terlintas di minda saya untuk menghina mereka yang memerlukan bantuan kerana saya juga sama seperti mereka yang pernah susah dan memerlukan orang ramai dahulu.
“Bagaimanapun, saya sedar saya tidak patut bercakap dengan nada begitu dengan mereka yang lebih berusia daripada saya. Saya minta maaf ini pengajaran besar kepada saya,” katanya.
Semalam, tular video influencer yang dikatakan pengasas butik Bella Ammara yang sedang mempersoalkan warga emas berusia 64 tahun itu adakah dia menyesal kerana tidak berusaha dan malas sewaktu muda sehingga menjadi gelandangan.
Difahamkan, individu terbabit bersama beberapa rakan ke pusat transit gelandangan itu untuk menyampaikan bantuan sebelum mengambil kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada gelandangan.
Rata-rata netizen mengecam tindakan lelaki itu yang dikatakan sengaja ingin memalukan warga emas tersebut di khalayak dan menasihatkannya agar menghormati insan yang lebih tua walaupun apa jua status mereka. – Malaysiapost

