KERAJAAN telah membelanjakan RM530 bilion sejak wabak Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu bagi melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata bagi tahun lalu sahaja pakej dilaksanakan bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Beliau berkata, ia antara kadar terbesar berbanding pakej-pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
“Saya akui, cabaran terbesar kita dalam menangani krisis ini ialah mengimbangi pelbagai keperluan dengan sumber kewangan negara yang terhad.
“Kami perlu mengimbangi antara menyelamat nyawa dan melindungi mata pencarian, antara pelbagai keperluan sektor dan perusahaan, dan pastinya mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan menjaga kepentingan generasi akan datang.
“Sehabis mungkin kami di Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan kewajaran sesuatu perkara sebelum meluluskan sebarang peruntukan,” katanya ketika penerangan Pakej Bantuan Ekonomi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pihak kementerian akan cuba mencari penyelesaian paling optimum bagi menangani Covid-19 supaya masa depan negara terus terpelihara serta kedudukan ekonomi dan fiskal kerajaan masih stabil apabila berjaya keluar dari krisis berkenaan kelak. – Malaysiapost

