Brader, jaga lu punya adab – Aaron Aziz

0
3

Tindakan pengasas jenama Bella Ammara terhadap seorang warga emas yang juga penghuni pusat transit gelandangan yang ditularkan di media sosial sejak semalam mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Terbaru, tindakan lelaki tersebut yang dikritik teruk oleh kalangan rakyat Malaysia, yang turut menganggap tindakan tersebut sebagai biadab, mendapat perhatian daripada pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz.

Aaron yang juga dikenali dengan watak seorang gangster dalam salah sebuah filem lakonannya menerusi watak ‘Malek’, dalam laman Instagram miliknya menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan influcer tersebut yang meninggikan suara dan mempersendakan kisah silam warga emas berkenaan.

“Salam brader. Lu Kalau nak tolong orang jangan nak korek corek kisah silam siapa siapa. Gua tak tahu la lu siapa tapi jaga lu punya adab.

“Diaorang gelandangan, penagih ke, pengemis ke, lu kalau nak buat kerja kebajikan ini bukan caranya.

“Jangan jatuhkan maruah orang, semangat orang, pendirian orang, nasib orang. Kalau lu rasa lu dihantar Tuhan untuk ‘tolong’ orang susah sekarang, Allah juga boleh kasi lu susah. Kasi lu ingat sikit,” tulisnya.

Video tersebut juga mendapat reaksi selebriti tanah air lain, antaranya Rozita Che Wan, Janna Nick, Yana Samsudin, dan Caprice yang berpandangan sikap lelaki tersebut tidak wajar kerana memalukan warga emas tersebut di depan khalayak.

Terdahulu, tular video influencer yang dikatakan pengasas butik Bella Ammara yang sedang mempersoalkan warga emas berusia 64 tahun itu adakah dia menyesal kerana tidak berusaha dan malas sewaktu muda sehingga menjadi gelandangan.

Difahamkan, individu terbabit bersama beberapa rakan ke pusat transit gelandangan itu untuk menyampaikan bantuan sebelum mengambil kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada gelandangan.

Lebih menambah kemarahan ramai apabila dalam video itu influencer terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan dilaporkan memanggil lelaki tersebut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 5.20 petang, semalam untuk dirakam keterangan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi, semalam ketika individu terbabit menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘Ubah Hidup’ kepada 20 gelandangan di pusat transit gelandangan terbabit.

Justeru itu, kompaun sebanyak RM1,500 dikeluarkan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu atas kesalahan tidak memakai pelitup muka mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here