Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam hari ini membuat kunjungan serta meninjau lokasi latihan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, kelmarin.
Dalam lawatan ke Kampung Kesang Tua Jasin itu, Mohd Ali meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk melihat sendiri keadaan ‘gimnasium kampung’ itu sehingga ia mengharumkan nama Melaka, lapor Harian Metro.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah yang juga bapa angkat kepada atlet Filipina itu.
Menurut Janius, kejayaan Hidilyn di temasya sukan terbesar dunia itu diharap menjadi inspirasi kepada atlet negara selain suntikan perangsang kepada enam anak didik yang kini bersamanya dalam sesi latihan ketika ini.
Bekas atlet angkat berat Melaka 1993 hingga 1999 itu berkata, bukan mudah untuk meraih emas Olimpik, justeru mereka diminta mencontohi kegigihan Hidilyn melakukan persiapan ke temasya sukan itu termasuk dari segi rehat, makanan, teknik dan amalan harian semasa latihan dan luar latihan.
Katanya, ramuan untuk mereka mengikut jejak Hidilyn sudah ada kerana telah bersamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) cuma usaha perlu dipertingkat untuk memenuhi sasaran dan impian emas atlet negara di Olimpik.
“Hidilyn berada di sini sejak September tahun lalu dan kami menghantarnya ke KLIA pada 18 Julai lalu untuk dia terbang terus ke Jepun. Nasihatnya kepada atlet yang pernah bersamanya juga mampu menjadi azimat berharga buat mereka.
“Apapun, kami amat bangga kerana selain emas dia memecahkan dua rekod Olimpik kategori wanita 55 kilogram (kg).
“Walaupun berlainan bangsa dan agama dia seperti keluarga sendiri kerana sukan tiada sempadan dan perbezaan,” katanya.
Sebelum ini, kejayaan Hidilyn Diaz meraih emas di Olimpik menarik perhatian rakyat malaysia selepas dia merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, Jasin.
Dia terpaksa berlatih di belakang rumah keluarga angkatnya itu selepas terkandas di Malaysia akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. – Malaysiapost
