Covid-19: 10 lagi varian Delta dikenal pasti

0
2
Suasana ketika penerima-penerima vaksin hadir di Pusat Penerima Vaksin (PPV) IDCC Shah Alam. PPV IDCC Shah Alam dibuka hari ini selepas ditutup semalam berikutan kes positif Covid-19 melibatkan 204 petugas PPV IDCC Shah Alam.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah mengenalpasti sebanyak 10 kes varian baharu virus SARS-CoV-2, iaitu kesemuanya adalah varian Delta B.1.617.2.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia dikenalpasti menerusi kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Justeru, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 439 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 419 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah Variant of Interest (VOI).

“Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat 206 kes varian Beta, 199 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa, dan tiga kes varian Eta,” katanya.

Beliau berkata, dari 22 Julai hingga hari ini, terdapat tiga kes varian Delta di Melaka dan masing-masing dua kes di Kedah dan Johor.

“Manakala terdapat satu kes varian tersebut di Terengganu, Perlis dan Selangor,” katanya.

Sebelum itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan varian Delta berkemungkinan menjadi strain dominan di seluruh dunia yang akan menyebabkan peningkatan kes jangkitan dan kematian baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here