[PARLIMEN] SESI petang Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati susulan dakwaan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memilki majoriti.
Tarmizi berkata demikian menjawab hujahan Ong Kian Ming (DAP-Bangi) berhubung Muhyiddin sudah tidak mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat.
Jelas Tarmizi, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh terbukti mempunyai majoriti apabila sebahagian besar Ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021.
“Apa yang disebut Bangi tak betul, Pagoh terbukti ada majoriti, apabila kita berjaya lulus Belanjawan di Parlimen.
“Mana bukti Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada majoriti,” katanya.
Susulan itu, suasana Dewan Rakyat gamat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mencelah dan menyatakan rasa tidak berpuas hati terhadap kenyataan Tarmizi itu.
RSN Rayer (DAP-Jelutong) yang bangun mencelah mencabar jika Tarmizi berani, beliau boleh membawa usul undian untuk membuktikan sama ada Muhyiddin mempunyai majoriti sokongan atau tidak petang ini.
Tegas Rayer, kenyataan Tarmizi itu mengelirukan Dewan Rakyat.
“Kalau berani kita undi. Saya cabar Sik. Bagan sudah beritahu Umno tarik sokongan pada PN. Saya cabar Sik sahut cabaran saya,” katanya.
Bagaimanapun cabaran daripada Rayer itu tidak dijawab oleh Tarmizi.
Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pula bangun mencelah meminta Rayer tidak membuang masa sebaliknya fokus kepada isu yang dibentangkan
“Kita bercakap isu vaksin, Jelutong orang cakap pasal vaksin,jangan buang masa,” katanya,
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon kemudian meminta Rayer tidak mengganggu Tarmizi berucap.
Terdahulu dalam perbahasannya, Kian Ming berkata Muhyiddin sudah tidak mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat dan semua pihak sudah mengetahuinya termasuk kerajaan.
Katanya, jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri, beliau yakin Anwar dapat menangani Covid-19 lebih baik daripada Muhyiddin. – Malaysiapost

