MESKIPUN tidak sehaluan dan sukar bekerjasama, namun kerajaan dan pembangkang perlu mengenepikan perkara itu demi melawan pandemik Covid-19 yang kritikal ketika ini.
Perkara itu ditegaskan Ong Kian Ming (DAP-Bangi) bahawa pengukuhan kerjasama itu perlu sebagai langkah jitu bagi menyelamatkan rakyat dan negara.
“Saya tahu nak bekerjasama itu susah kerana pihak di sebelah sini termasuk saya juga ada rasa perasaan macam kena dikhianati oleh pemimpin di sebelah sana.
“Saya rasa tuan Speaker pun tahu apa yang kami rasa sekarang. Tapi oleh kerana ada satu kaedah, krisis yang begitu teruk di Malaysia, ini adalah hala tuju yang perlu dibuat.
“Cadangan saya, wujudkan Covid Moratorium Agreement (CMA), semua berganding bahu bekerjasama sebagai ‘frontliners’ untuk kawal Covid-19 dan pulihkan ekonomi.
“Ini adalah suatu yang pemimpin di sini boleh cadangkan dan bincang supaya boleh tunjuk pada rakyat yang kita ada hala tuju keluar daripada Covid-19 dengan berganding bahu. Selepas enam bulan pemimpin kita boleh lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, tapi untuk sekarang kita kena bekerjasama,” katanya dalam sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, Kian Ming berkata, sebenarnya terdapat pemimpin yang boleh menguruskan Covid-19 ini dengan lebih baik daripada apa yang dibuat kerajaan sekarang.
“Ini rahsia terbuka di mana Pagoh (Perdana Menteri) tidak ada lagi majoriti di dewan ini. Ia belum diuji, tapi ini fakta dan saya rasa semua orang tahu. Sekarang ramai kecewa dengan kepimpinan Pagoh dengan krisis yang tidak baik.
“Jika Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada peluang untuk menjadi Perdana Menteri, beliau boleh menjalankan tugas dengan lebih baik dari apa yang Pagoh buat.
“Saya juga rasa mungkin belah sana (kerajaan) pun boleh menjalankan tugas dengan lebih baik berbanding apa yang Pagoh sedang buat. Tetapi saya rasa kita semua tidak ada seorang ahli Yang Berhormat yang ada majoriti sokongan dalam dewan,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Dr Ong Kian Ming

