18.4 juta dos vaksin sudah diberi kepada penduduk Malaysia

0
3
Penerima-penerima hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini.

[PARLIMEN] SERAMAI 12.49 juta penduduk negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata jumlah itu merupakan 38.2 peratus daripada keseluruhan populasi penduduk Malaysia.

Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin.

“Ini bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin sudah diberi kepada penduduk negara ini.

“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi negara ini sudah menerima satu dos vaksin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan mengenai PICK yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, kira-kira 25.2 peratus populasi dewasa sudah menerima dos lengkap.

Katanya lagi, bagi petugas barisan hadapan, dalam fasa pertama program vaksinasi, seramai 695,000 selesai dos lengkap iaitu 195 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal 500,000 orang.

“Kumpulan fasa kedua pula sehingga 25 Julai lalu mencatatkan 93 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas yang sudah mendaftar menjadi penerima vaksin, menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here