Jangan berselindung di sebalik misi bantuan kemanusiaan – Ridhuan Tee

0
2

“JANGAN berselindung di sebalik misi bantuan kemanusiaan untuk kepentingan diri. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua nanti. Percayalah,” kata Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Pendakwah itu berkata beliau mengikuti rapat kontroversi beberapa isu terkini dan sebelumnya yang mana banyak perkara beliau tahu daripada sumber boleh dipercayai termasuk pihak berkuasa, cuma mengambil pendekatan berdiam diri lebih baik.

Namun, mutakhir ini, beliau terpanggil untuk bercakap sedikit apabila melihat watak manusia yang mula meragukan, lebih-lebih lagi ramai sahabatnya, termasuk Firdaus Wong, memberi bukti-bukti yang sukar untuk ditolak, selain pemerhatian sendiri.

“Harapan saya biarlah setiap pendakwah, termasuk pemimpin (parti) politik, yang melakukan apa juga kerja-kerja kebajikan, benar-benar membawa imej Islam ini, ikhlas dalam perjuangan. Bukannya berpura-pura, penuh hipokrit, kerana yang akan menerima padahnya nanti, selain diri sendiri, lebih besar lagi adalah agama suci kita.

“Ingat! Kamu akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kamu buat. Jika tidak di dunia, di akhirat sudah pasti. Namun, saya percaya, di dunia pun kita akan dapat lihat akan kebenarannya, kerana ada pepatah berkata, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.

“Apa iktibar yang kita pelajari daripada semua yang berlaku ini?

Pertama, jangan taasub kepada manusia atau individu (parti) tertentu, tetapi kepada kebenaran, tidak kira siapa. Neraca kita adalah apa yang benar, apa yang salah, bukan siapa atau siapa yang benar, siapa yang salah.

“Jangan kerana terlalu suka kepada seseorang, sehingga tidak nampak, antara hak dan batil. Kita ada akal yang Allah kurniakan, nilaikan dengan mata hati. Seperti mana artikel yang saya sebelum, berjubah, berkopiah, bersongkok, tidak semestinya tidak rasuah, salah laku dan salah guna kuasa,” tulisnya menerusi Facebook.

Mohd Ridhuan berkata beliau cukup bimbang dengan trend hari ini, pantang dikritik dan disentuh sedikit figura-figura tertentu, maka akan ‘diserang’ pentaksub-pentaksub.

Jelasnya, ia bukan cara yang betul sebaliknya nilai dahulu, apa yang benar, apa yang salah dan jangan tengok siapa dahulu.

Katanya lagi, taksub sehingga tidak dapat membezakan mana benar, mana salah, adalah sangat bahaya.

“Mempertahankan sesuatu tanpa menoleh lagi. Al-Quran memberi peringatan terhadap mereka yang terlampau taasub kepada orang tertentu yang menjurus kepada kebatilan dan kesesatan (al-Ahzab:67)

“Taksub atau fanatik ini juga merentas setiap anutan agama bukan sahaja di dalam Islam. Setiap agama ada golongan yang taasub. Dalam kata lain, taksub juga boleh menyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

“Mereka yang taasub boleh bertindak ganas bagi mempertahankan anutan dan apa yang mereka bawa walau salah. Ingatan sekali lagi, taksub kepada kebenaran, bukan orang,” katanya.

Kedua, beliau berkata dalam kerja dakwah atau kebajikan, elak penonjolan atau publisiti diri secara berlebihan, sehingga ‘over’ dengan mamastikan tangan kanan yang memberi, seolah-olah tangan kiri tidak tahu.

“Penonjolan berlebihan inilah juga menyumbang kepada taksub dan riak. Berpada-pada. Bukan semua perkara perlu dicerita, sehingga hal-hal peribadi, suami isteri dan anak pinak pun nak ditunjukkan juga. Kena ada rasa malu sikit.

“Kami, orang-orang lama, juga ‘popular’ hingga kini, bagi ceramah motivasi sana sini, masuk keluar tv, lakukan kerja-kerja amal sehingga kini, tetapi tidaklah se’over’ ini. Tidak juga kami jadi kaya dengan kerjaya ini. Tetapi, Alhamdulilah, kini ada orang jadi kaya. Semoga Allah memberkati,” katanya.

Perkara ketiga katanya, dalam dakwah dan kebajikan, elakkan gunakan perkataan ‘saya’ terlalu kerap.

“Saya akan bantu, saya punya duit, semuanya, saya, saya, saya…tetapi gunakan bahasa yang lebih lunak, kita atau kami.

“Apabila menggunakan perkataan saya atau aku, seolah-olah semua itu datang daripada diri sendiri. Sedangkan, kebenarannya, tidak sedemikian.

“Orang akan menilai, terlalu kayakah kamu? Bisnes tidaklah sehebat mana? Tidak pula selaku mana? Mana datangnya duit, kalau bukan daripada sumbangan luar atau orang ramai. Lebih-lebih lagi musim wabak ini.

“Semua bisnes terjejas. Duit datang dari mana? Takkan duit datang dari langit. Kalau duit itu datang daripada derma orang, maka elakkan guna perkataan saya. Kena elakkan lembu punya susu, sapi punya nama,” katanya.

Mohd Ridhuan menambah, perkara keempat, setakat yang beliau tahu, mana-mana kerja kebajikan, boleh dikatakan rata-rata sumber kewangan datang daripada sumbangan orang ramai, sama ada syarikat atau individu, melalui NGO yang ditubuhkan.

Sehubungan itu katanya, sumbangan atau derma itu adalah amanah, tidak boleh dibelanjakan sesuka hati dan perlu dijaga dengan baik, profesional serta tidak boleh semberono, selain semua akaun perlu diauditkan, supaya tidak berlaku salah laku dan salah guna kuasa.

Menurutnya, Orang ramai atau penderma berhak tahu ke mana wangnya dibelanjakan.

“Tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan, bukan setakat mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan Allah kelak. Pengurusan keluar masuk sumbangan mesti direkodkan dengan rapi dan diaudit.

“Kelima, figura-figura yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan ini, sedaya upaya hendaklah elakkan diri daripada skandal, terutama skandal berkaitan tiga “TA” Wanita, harta dan takhta. Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ditunjukkan, bukan sahaja memeranjatkan malahan amat menakutkan kerana ia menjijikkan. Saya cukup berharap semua itu tidak benar?

“Saya amat berharap, individu atau NGO yang melakukan kerja-kerja amal ataupun kemasyarakatan perlu melakukannya bukan untuk kepentingan peribadi. Janganlah berlaku di mulut, kalimah Allah tidak lekang, tetapi lain ceritanya di belakang. Kita takut menimbulkan fitnah kepada agama.

“Iktibar daripada semua kontroversi ini, elok rasanya sebuah badan bebas atau pihak berkuasa perlu dimasuk untuk memantau mana-mana figura atau ahli politik yang menubuhkan NGO untuk tujuan amal.

“Ini amat perlu bagi mengelak persepsi ia bergerak atas kepentingan peribadi dan peruntukan tidak sampai kepada kumpulan sasar. Lebih-lebih lagi apabila kita membawa imej agama, di bibir tidak pernah putus menyebut kalimah Allah. Perkara yang paling saya takut, menjadi fitnah kepada agama suci ini, disebabkan tangan-tangan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here