12 kilang langgar SOP diarah tutup – Hishammuddin

0
2
grafik

SEBANYAK 60 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup serta merta di seluruh negara, semalam selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penutupan itu hasil daripada 80,431 pemeriksaan dijalankan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.

Menurutnya, pemeriksaan adalah membabitkan 1,736 kilang, premis perniagaan (15,572), tapak pembinaan (990) dan asrama penempatan pekerja (344).

“Ekoran kegagalan mematuhi SOP, sebanyak 60 premis meliputi kilang (12), premis perniagaan (40), tapak pembinaan (8) diarahkan tutup serta merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bermula hari ini mengambil alih sidang media mahupun kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan SOP dan penguatkuasaan undang-undang Akta 342 di seluruh negara bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

“Saya juga akan menerima serta memaklumkan laporan mengenai pematuhan SOP, kawalan sempadan negara serta perkara-perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat.

“Ia penting bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang situasi semasa keselamatan khususnya dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang beliau melaksanakan tugasan ini sejak 20 Mac 2020,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah individu yang dikompaun semalam kerana ingkar SOP adalah seramai 438 dengan 27 daripadanya direman.

“Melalui Op Benteng, seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan semalam dan empat kenderaan darat turut dirampas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here