Suspek cemar sungai didakwa minggu depan

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN akan melaksanakan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemar sumber bekalan air sehingga mengakibatkan gangguan meluas di Lembah Klang, minggu depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketika ini tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan pusat sedang berjalan.

“Agensi itu membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) jabatan alam sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa tempatan.

“Proses pendakwaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dilaksanakan minggu depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada juga akan disegerakan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

”Langkah itu dibuat supaya ia memberi pengajaran dan balasan setimpal dengan apa yang mereka dilakukan.

“Pindaan yang dibuat akan membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Span dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Sementara itu, bagi situasi terkini gangguan bekalan air, Tuan Ibrahim berkata status pemulihan sudah mencapai lebih 51 peratus.-Malaysiapost