Nyata darurat dasar kerajaan yang gagal dan sia-sia – Asyraf Wajdi

0
2

PEMUDA Umno mempersoalkan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengisytiharkan semua Ordinan-Ordinan Darurat yang diluluskan Yang di-Pertuan Agong telah dibatalkan pada 21 Julai lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, persoalan pertama ialah keputusan tersebut mengundang kekeliruan kerana dilihat tergesa-gesa seperti mengesahkan pendirian Umno bahawa Ordinan-Ordinan ini mesti dibahas dan ditentukan keabsahannya dalam Parlimen sebagaimana peruntukan
Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3).

Katanya, soalan kedua mengapa tindakan kerajaan yang tidak mengumumkan pembatalan melalui pewartaan yang jelas lebih awal, mencetuskan tanda tanya apakah benar Yang di-Pertuan Agong telah perkenankan pembatalan tersebut.

“Ketiga, apakah status segala kompaun dan denda yang dikenakan ke atas rakyat setelah Ordinan-Ordinan Darurat dibatalkan.

“Keempat, apakah status segala operasi pentadbiran, perbelanjaan dan penggunaan wang kerajaan tanpa mengikut bajet sejak 21 Julai 2021 lalu.

“Kelima, dengan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini, apakah implikasi ke atas status kerajaan hari ini lantaran Parlimen yang dibiarkan tidak bersidang selama enam bulan sebagaimana Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan, sedangkan sebelum ini Peguam Negara menjadikan alasan kewujudan Ordinan Darurat yang mengatasi Perlembagaan sepanjang tempoh darurat,” katanya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata sedemikian menerusi kenyataan di laman Facebooknya, yang dimuat naik hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya menyambut baik pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini yang seiring dengan pendirian Umno sebelum ini yang tidak pernah bersetuju Proklamasi Darurat sejak dari awal.

Jelas beliau, pengumuman tersebut memperakui Proklamasi Darurat adalah dasar yang gagal dan sia-sia kerana ternyata lebih memudaratkan rakyat dan negara termasuk implikasinya kepada ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here