Dua kluster punca dari aktiviti ziarah ketika Hari Raya dikesan

0
2

DUA kluster komuniti melibatkan aktiviti ziarah menziarahi sempena musim perayaan dikesan di Kulai, Johor dan Pasir Mas, Kelantan dengan masing-masing merekodkan lima dan 39 kes positif Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster yang dinyatakan adalah Kluster Teratai Kulai di Kulai dan Kluster Lorong Yusof Bongsu di Pasir Mas.

Katanya, kes indeks Kluster Teratai Kulai ialah wanita 49 tahun yang dilaporkan positif pada 24 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kes terdahulu menunjukkan gejala pada 16 Julai lepas. Kluster ini melibatkan aktiviti ziarah menziarahi di Jalan Teratai, Kampung Separa, Kulai sempena majlis sambutan perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster Lorong Yusof Bongsu pula iaitu seorang lelaki berumur 29 tahun mula bergejala pada 19 Julai lalu sebelum dilaporkan positif pada 24 Julai hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan aktiviti ziarah di Lorong Yusof Bongsu, Kampung Atas Pinggir, Pasir Mas sempena majlis sambutan perayaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan seorang warga emas yang mempunyai sejarah merentas negeri dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu mencetuskan Kluster Lorong Haji Lamat di Melaka Tengah, Melaka dengan 22 kes positif setakat ini.

Menurutnya, kes indeks iaitu seorang wanita berusia 65 tahun dilaporkan positif pada 17 Julai lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi.

“Kes mempunyai sejarah perjalanan merentas negeri dari Melaka ke Kuala Lumpur pada 7 Julai lepas,” katanya.

Jelas beliau, nama kluster berkenaan merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Lorong Haji Lamat, Kampung Pendamar, Simpang Ayer Molek, Melaka Tengah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here