BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan isu doktor kontrak yang timbul kebelakangan ini tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahannya dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, doktor kontrak tidak menimbulkan isu berkaitan jawatan kontrak mereka kerana mengetahui akan mendapat perjawatan tetap apabila tempohnya sudah tiba.
“Saya dapati adalah tidak adil sekiranya doktor terbabit yang sudah sekian lama berkhidmat masih dikekalkan sebagai kontrak kerana sepatutnya apabila sudah sampai masanya, ia perlu dilantik sebagai doktor tetap.
“Isu ini timbul apabila mereka merasakan diri tidak dilayan secara adil sejak sekian lama sepertimana doktor tetap, sedangkan mereka melakukan tugasan yang sama dengan doktor tetap,” katanya dalam sidang media dalam talian, petang tadi.
Dr Mahathir membuat kenyataan itu selepas diminta mengulas mengenai Hartal Doktor Kontrak berlangsung di 20 hospital di seluruh negara bagi menyatakan solidariti terhadap status perkhidmatan kontrak dan meminta supaya kerajaan menyerap mereka semua ke perjawatan tetap.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan mengumumkan bahawa Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi lantikan kontrak ditawarkan lantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Kerajaan turut bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.
Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kontrak tersebut ditawarkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran, selepas mereka melengkapkan tempoh khidmat wajib. – Malaysiapost

