Olimpik: Jurulatih yakin Pandelela-Mun Yee bijak kawal tekanan

0
2

JURULATIH skuad terjun negara, Christian Brooker, percaya gandingan negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, bijak dalam mengawal tekanan menjelang final acara terjun 10 meter platform seirama di Pusat Akuatik Tokyo esok.

Segala perhatian akan tertumpu kepada skuad terjun negara yang akan memulakan cabaran esok, terutama membabitkan acara Mun Yee dan Pandelela yang diletakkan sebagai prospek menjelmakan kilauan pingat.

Rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi terhadap mereka untuk menuai pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020

Memetik laporan Astro Arena, menerusi satu temu bual, Brooker berkata, ia pastinya sukar tetapi itu bukanlah fokus pihaknya.

“Kami hanya fokus kepada prosesnya dan apa yang boleh kami kawal. Kami tidak boleh mengawal perkara lain seperti juri, kami hanya boleh mengawal pemikiran mereka, jadi itulah yang akan kami lakukan.

“Kami akan memastikan mereka fokus untuk mengawal teknik, memastikan persiapan mereka di tahap yang betul dengan rutin yang baik dan memastikan segala-galanya dalam keadaan baik.

“Jika segala-galanya berjalan dengan baik dan persiapannya juga bagus, ia pasti akan memberikan pingat buat mereka,” katanya.

Brooker berkata, pihaknya berusaha untuk tidak memberikan tekanan buat dan yakin kedua-dua atlet itu mempunyai cukup pengalaman untuk berada dalam situasi berkenaan.

“Dan mereka agak tenang. Jika anda dapat melihat mereka di perkampungan sukan, mereka baik-baik sahaja,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama dalam edisi di Rio 2016 menerusi gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong.

Dalam Piala Terjun Fina di venue sama pada Mei lalu, gandingan negara itu hampir merebut kedudukan podium sebelum akur menamatkannya di tempat keempat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here