‘Jangan ambil tindakan doktor terlibat mogok’ – Nurul Izzah

0
2

[Parlimen] KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu mewujudkan satu ‘blue print’ untuk mereformasikan sistem kesihatan negara termasuk membela nasib 23,000 doktor berstatus kontrak di seluruh negara.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, berkata perkara itu perlu dilaksanakan dengan serta-merta dan tidak boleh ditangguhkan lagi kerana negara kini berhadapan situasi kritikal pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menggesa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap doktor yang terlibat dalam hartal atau mogok pada hari ini kerana tindakan itu kemungkinan terpaksa dilakukan demi kebaikan mereka.

“Masa inilah kerajaan perlu tunjukkan keprihatinan dengan membela nasib mereka. Jadi jangan kenakan tindakan dan amaran kepada mereka.

“Kayu ukur penyelesaian masalah ini adalah pelaksanaan segera,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Terdahulu, sekumpulan doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Perhimpunan berkenaan berlaku serentak di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara itu mendesak kerajaan menyerap doktor kontrak menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sesetengah doktor kontrak terbabit dikatakan meninggalkan fasiliti kesihatan, manakala sebahagian lagi yang masih bertugas menunjukkan solidariti dengan mempamerkan plakad, pada jam 10.30 pagi tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here