SKUAD Kuala Lumpur bakal berwarna ‘pink’? Itu mungkin terjadi apabila jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bakal memulakan rundingan bersama kelab Liga Malaysia (Liga M) itu.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa dan pertemuan yang mungkin diadakan dalam masa terdekat atau minggu depan.
Nokman memaklumkan, KLFA sudah berunding dengan beberapa pihak yang menyatakan minat memiliki Kuala Lumpur tetapi menemui jalan buntu.
“Setakat ini ramai yang sekadar bercakap kosong mengenai minat membeli Kuala Lumpur. Ada juga yang serius tetapi apabila diberitahu syarat-syaratnya mereka mahu berfikir dahulu.
“Berkaitan Dr Vida kita mungkin mengadakan pertemuan dengan beliau minggu ini atau minggu depan,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Nokman sebelum ini dilaporkan berkata, mana-mana pihak yang berminat memiliki Kuala Lumpur harus memiliki sekurang-kurangnya RM5 juta.
Sebelum ini, pada musim 2015/2016, Dr Vida menerusi produknya Pamoga Qu Puteh pernah menaja pasukan Kelantan lebih daripada RM16 juta untuk dua musim.
Bagaimanapun, usahawan berkenaan mengambil keputusan menarik diri selepas mendapati tajaan berkenaan gagal memberi impak positif kepada pihaknya. -Malaysiapost

