SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang Setiausaha Bahagian di sebuah agensi kerajaan Negeri Selangor bagi membantu siasatan kes membolot projek bernilai jutaan ringgit di negeri itu tahun lalu.
Lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan berkenaan ketika menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua (YDP) majlis di sebuah daerah sejak 2015 hingga tahun lalu.
Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman lima hari oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya bermula hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima pelbagai jenis suapan daripada kontraktor seperti pembiayaan kos pengubahsuaian rumah bernilai kira-kira RM18,000, wang tunai anggaran RM38,000 serta deposit kereta mewah sebanyak RM75,000.
“Selain itu, suspek dikatakan turut menerima bayaran bulanan kira-kira RM3,000 sebulan sejak 2018 hingga kini serta bayaran pembelian televisyen dan jam mewah.
“Ia sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan, lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di sekitar Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, sumber sama berkata, seorang suspek bekas YDP yang pernah ditahan SPRM sebelum ini dikatakan telah mengarahkan kontraktor memberi rasuah dalam bentuk wang deposit dan diskaun keseluruhan kira-kira RM500,000 bagi membeli sebuah rumah teres dua tingkat bernilai kira-kira RM1 juta dari sebuah syarikat pemaju terkenal.
“Suspek dipercayai menerima diskaun serta wang deposit tersebut bagi pembelian rumah berkenaan atas nama kontraktor itu.
“Perbuatan itu sebagai balasan kepadanya yang meluluskan Kebenaran Merancang bagi projek yang dibangunkan oleh syarikat pemaju terkenal,” katanya.
Difahamkan, akan ada lagi tangkapan melibatkan beberapa individu berhubung siasatan kes berkenaan. – Malaysiapost

