PRESIDEN Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu memutuskan bahawa semua menterinya, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu melepaskan jawatan mereka sekiranya ordinan darurat terus berkuatkuasa selepas 1 Ogos.
Katanya, sekiranya usul itu gagal dan darurat diteruskan selepas 1 Ogos maka semua yang berkenaan akan meletakkan jawatan menenuhi ketetapan parti pada 25 April lalu.
Memetik Perlembagaan Persekutuan, Ahmad Zahid berkata menurut Perkara 150 (7), peraturan darurat akan terus berkuatkuasa selama enam bulan lagi setelah berakhirnya proklamasi darurat kecuali dimansuhkan oleh parlimen.
Walau bagaimanapun, kertas aturan mesyuarat Dewan Rakyat menunjukkan proklamasi dan ordinan darurat hanya akan dibentangkan tanpa petunjuk ada perbahasan atau undian usul.
“Ahli-ahli parlimen Umno mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar parlimen mesti membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.
“Ahli-ahli Parlimen Umno mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.
Ahmad Zahid berkata, Umno juga membuat keputusan itu kerana memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan.
“Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen,” katanya. – Malaysiapost

