PELAN Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini dilihat semakin mencabar dan sukar untuk beralih dari fasa pertama ke fasa seterusnya jika kerajaan kekal dengan pelan ‘lockdown’ yang sama.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata perkara itu berdasarkan situasi semasa yang menyaksikan kes Covid-19 terus meningkat dengan sudah melangkaui angka satu juta kes hari ini.
Menurutnya, jumlah kes harian Covid-19 juga kekal tinggi di Selangor dan Kuala Lumpur walaupun lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh masih berjalan.
“Setakat ini, petunjuk positif adalah hanya kadar vaksinasi yang melangkaui 500,000 dos sehari. Namun begitu, aspek vaksinasi sahaja tidak menjamin penurunan kes Covid-19 kerana masih banyak kes yang terjadi setelah divaksin.
“Harus diingat bahawa vaksinasi tidak memberi jaminan 100 peratus untuk tidak dijangkiti Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahir berkata, sektor kilang atau kluster tempat kerja juga kekal dominan bagi PKP 3.0, sekitar 90 peratus setiap hari.
“Sektor kilang di Selangor dan Kuala Lumpur masih dibuka beroperasi dan kebanyakannya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan tiada had pekerja pada sesuatu masa.
“Keadaan seperti ini menyebabkan kes harian tetap mencanak dan tidak akan turun. Ia umpama kita patah tangan kanan, tetapi yang dirawat adalah kaki kiri.
“Masalah Covid-19 di negara kita tidak akan diselesaikan jika kluster terbesar iaitu kluster tempat kerja tidak ditangani dengan betul,” katanya.
Menurutnya, DPIM menyeru kerajaan dan rakyat untuk berganding bahu dalam membanteras Covid-19 serta pemimpin perlu menunjukkan contoh baik dalam menangani Covid-19.
“Jangan pula rakyat dikurung, tetapi pemimpin bebas menari dan berdansa. Ada juga yang melanggar SOP dengan ramai-ramai menjamu durian. Semua pihak perlu berkorban untuk kebaikan negara kita,” katanya. – Malaysiapost

