PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membenarkan usul proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diundi Ahli Parlimen bagi memenuhi hak berperlembagaan juga membawa suara rakyat secara rasmi di dalam Parlimen.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Parlimen yang akan bermula esok hingga 2 Ogos mesti membenarkan Ahli-ahli Parlimen membahaskan dan menentukan kelulusan sekurang-kurangnya dua usul besar iaitu Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya, dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beserta Pakej Bantuan Rakyat.
Menurutnya, Ordinan Darurat wajar dibahas dan ditolak kerana darurat bukan sahaja gagal dan lebih memudaratkan bahkan rakyat diperlaku zalim dengan kompaun melampau hingga RM10,000 dan bersifat pilih kasih (double standard).
Katanya, PPN dan Pakej Bantuan Rakyat juga wajar dibahas di disuarakan dengan tegas berkenaan penambahbaikan termasuk i-Citra RM10,000 ‘one-off’, moratorium tanpa faedah terakru, moratorium LPPSA, tambahan nilai Bantuan Prihatin Nasional, proses permohonan dan rayuan, dan bantuan khas peniaga kecil.
“Selain dua rasional di atas, sudah tentu ada sebab apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah berkali-kali agar Parlimen bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
“Secara tersiratnya Tuanku Agong dan Raja-Raja Pemerintah juga amat memahami suara keresahan rakyat yang dibangkitkan selama ini.
“Malah pakar-pakar Perundangan dan Perlembagaan juga telah menegaskan keperluan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat diperbahaskan dan ditentukan kelulusan dan pembatalannya oleh Ahli-Ahli Parlimen sejajar dengan kehendak Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, kegagalan untuk membenarkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dianggap menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong malah melanggar sumpah setia jawatan Ahli Parlimen untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan Persekutuan.
Esok bermula Sidang Parlimen yang pertama tahun ini yang dijangka dihadiri 220 Ahli Parlimen.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat. – Malaysiapost

