POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai bidang kuasa berhubung ujian ‘Covid Neutralizing Antibody’ bagi mengetahui keberadaan vaksin dalam badan penerima.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata kenyataan yang dibuat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berhubung perkara itu malam tadi adalah di luar bidang kuasa PDRM.
Menurutnya, sebarang kesulitan atau persoalan yang timbul berhubung perkara itu adalah dikesali.
“Siaran media Pengarah JSJ dengan tajuk isu berhubung pemberian suntikan vaksin kosong dan penjualan vaksin Covid-19 oleh orang awam adalah dirujuk.
“PDRM kekal komited untuk menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam memastikan perkhidmatan vaksinasi terbaik disampaikan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, PDRM akan mengambil langkah selari dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berhubung perkara itu.
Terdahulu, Abd Jalil dalam kenyataannya malam tadi, memakluman penerima vaksin Covid-19 yang gelisah dan merasa telah diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin, boleh membuat ujian keberadaan antibodi berkenaan di dalam badannya.
Menurutnya ujian ‘Covid Neutralizing Antibody’ boleh dilakukan di makmal-makmal perubatan yang berlesen selepas tempoh 30 hari menerima suntikan dos kedua vaksin berkenaan. – Malaysiapost

