GOLONGAN berusia 51 tahun ke atas dikesan cenderung untuk menjadi mangsa penipuan terutama sindiket Macau Scam kerana kurangnya kesedaran megenai kes-kes penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan analisis kes penipuan Macau Scam, individu dalam kumpulan usia berkenaan paling ramai menjadi mangsa.
Menurutnya, sepanjang 2019 hingga Jun tahun ini, sejumlah 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan lebih RM327.9 juta.
“Sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada 2019 dengan kerugian RM121.85 juta, manakala 2,247 kes pada tahun lalu membabitkan nilai kerugian RM172.10 juta.
“Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini pula 814 kes Macau Scam dilaporkan dengan nilai kerugian RM33.34 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, statistik itu menunjukkan daripada 5,535 mangsa yang terlibat sepanjang 2019 hingga Jun lalu, individu lingkungan 51 tahun dan ke atas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,621 orang.
“Kumpulan ini menjadi mangsa kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kes penipuan dan ditambah kedudukan ekonomi mereka yang lazimnya mempunyai aliran kewangan stabil.
“Selain mempunyai wang simpanan untuk hari tua mahupun wnag persaraan dan ini menyebabkan peratusan untuk menjadi mangsa penipuan lebih tinggi,” katanya.
Mohd Kamarudin berkata, adalah menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan.
“Sehubungan itu, polis melihat perlunya komunikasi dalam kalangan ahli keluarga dalam usaha menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.
“Ahli keluarga khususnya anak-anak yang mempunyai pendedahan melalui media sosial perlu mengingatkan ibu bapa agar cakna dengan situasi semasa bagi mencegah jenayah penipuan terutama Macau Scam,” katanya. – Malaysiapost

